26 November 2008

:: award ::

Alahai...cutenyerrrr...hadiah nie dapat dari adik syazwaniadnan..student yang rajinnnnn baking! Terima kasih yea wani, sudi panjangkan hadiah nie utk akak plak..


Syarat award ni seperti berikut yer :-

1. Sape yang dapat award ni leh letak kat blog memasing.
2. Link semula kepada orang yang bagi award ni kat korang.
3. Bagi award ni kat 7 orang bertuah.
4. Tinggalkan ia mesej pemberitahuan yang korang dah bagi award kt orang tu.

Jadi, mangsa saya seterusnya ialah >> kak jun, diba, kak hanieliza, ah mat gebu, ninoZ, yusnina dan kak ummi. hehehehe...

25 November 2008

Chocolate Peanut Butter Kisses

Cuba resepi nie tadi, kebetulan bahan-bahan semua ada. Lagipun nak perabiskan stok peanut butter tu. Godek resepi kat buku terjumpa dengan resepi nie. Biskut nie manis sket pada tekak saya tapi kira ok lah sebab guna brown sugar tapi eii..tak boleh..still manis! hehehe..


Chocolate Peanut Butter Kisses

Bahan-bahan :-
225 gm light brown sugar
115 gm mentega tanpa garam
1 sdt vanila ekstrak
1 biji telur, dipukul
140 gm crunchy peanut butter
2 sdb susu
280 gm tepung gandum
1 sdt serbuk penaik
85 gm plain chocolate chips

Cara-cara :-
1. Panaskan oven 190'C. [Ikut suhu oven masing-masing].
2. Satukan gula, mentega, vanila dan telur di dalam sebuah mangkuk dan pukul sehingga lembut. Masukkan peanut butter dan susu, pukul lagi.
3. Ayak tepung dan serbuk penaik. Tuang ke dalam adunan.
4. Masukkan chocolate chips dan gaul sehingga sebati.
5. Cubit dan uli adunan menjadi bebola atau sudukan dengan sudu pun boleh kemudian tekan dengan garfu/sudu sedikit. Susun di atas loyang pembakar dan bakar sehingga masak kekuningan. Sejukkan di atas redai dan bolehlah di simpan di dalam bekas kedap udara.

24 November 2008

Lunch di Teluk Kumbar

Pada 22 Nov 2008 hari Sabtu lepas kami sekeluarga ramai-ramai pergi makan kat satu restoran di Teluk Kumbar. Restoran nie bersebelahan dengan Salwa Mee Udang yang famous tuh. My husband memang syiokkk dgn lauk kari ikan semilang! Kebetulan cuti sekolah, jadik ramai anak menantu balik kan. Lauk pauk yg kami order memang sedap-sedap. Kira puas hati sungguh lah. Kami tempah 2 meja bulat. Antara hidangannya ialah kari ikan semilang, kari ikan jenahak, ikan siakap masak steam asam boi, sambal udang, siput,ketam, ulam-ulaman dan sambal belacan dan sayur taugeh. Semuanya licin! hehehe..So kepada sesiapa yang bercuti di Pulau Pinang, jangan lupa singgah di restoran ini yea. Lepas makan boleh jalan-jalan di tepi pantai pulak atau boleh beli ikan atau udang yang freshhh dari peraih situ!





Cucur Udang Geragau

Masa balik ke Penang baru-baru nie mak sempat pegi 'tangkap' udang geragau nie kat pasar..hehehe..udang nie bermusim jugak, sebab kadang-kadang amat sukar nak perolehi. Kalau ada pun dah jadi trend rebut-rebut makcik-makcik kat pasar tuu..kebetulan haritu ada, so belilah sebab memang teringin nak makan pun. Cucur nie simple saja cara nak buat dia. Basuh bersih udang, buang kotoran pada udang-udang tu, bilas kemudian bancuh laa tepung. Tepung pun agak-agak je kira nak bagi melekat laa. Pastu garam, jintan sket dan serbuk kunyit sket.




21 November 2008

Blueberry Muffins

Cuba buat muffin ni sebab teruja sangat dengan feedback kengkawan forum. Ramai yang puji muffin ni sedap, dan paling best mudah. Betul! Memang mudahpun..nak bancuh adunan ni pun lebih kurang 5 minit mcm tu. Resepi ni disumbangkan oleh Sankuriang yang beliau perolehi dari internet juga.

Kim’s Moist Muffin

Bahan-bahan :-
220 gm tepung naik sendiri
½ - ¾ cwn minyak sayuran
¾ cwn buttermilk atau susu biasa
½ - ¾ cwn gula kastor
1 biji telur, dipukul
1 sdt esen vanilla
150 gm flavourings [pisang, frozen blueberi/raspberry, choc bits, grated epal dsb]

Cara-cara :-
1. Panaskan oven 180’C. Griskan loyang muffin.
2. Gaul sebati semua bahan kering.
3. Gaul sebati semua bahan basah dan campurkan dgn bahan kering.
4. Masukkan flavouring dan gaul sehingga sebati.
5. Tuang ke dalam loyang muffin dan bakar selama 15-20 min atau sehingga masak.

Nota :-
Resepi asal dalam bahasa inggeris tapi saya translate ikut apa yang saya faham lah. Selamat mencuba!

Bihun Singapore

Goreng bihun nie untuk breakfast. Meriah betoi dengan udangnya, sotongnya..hehehe..tapi yg kurenggg is tak dak plak sambal atau cili jeruk! Kalau takkk..hmmm...ekekeke..


20 November 2008

Apple Crumble





Apple Crumble
sumber : Chanel2004
::
Bahan-bahan :-
4 biji epal hijau, kupas kulit dan potong dadu
4 sdb gula perang
1 sdt serbuk kulit kayu manis
50 gm kismis/mixed fruits
::
Cara-cara :-
1. Gaul kesemua bahan-bahan di atas dan tuang ke dalam bekas caserol tahan panas. Ketepikan dan bolehlah dipanaskan oven 180'C. [Saya masak sekejap epal nie dengan sedikit air sehingga epal lembut dan air kering dan kemudian baru tuang ke dlm bekas]
::
::
Crumble/Topping :-
100 gm tepung gandum
50 gm tepung naik sendiri
2 sdb tepung kastad
30 gm serbuk badam [ground almond] <-- tak letak sbb takde
150 gm mentega sejuk, potong dadu
120 gm gula
::
Cara-cara :-
1. Satukan 2 jenis tepung, tepung kastad dan serbuk badam.
2. Masukkan mentega sejuk tadi dan ramas dengan tangan sehingga menjadi 'crumb'.
3. Masukkan gula dan gaul sebati.
4. Sudukan 'crumb' tadi ke atas epal [jgn tekan] sehingga rata dan menutupi keseluruhan epal dan bakar selama 30 min - 45 min atau sehingga bahagian atas menjadi perang keemasan. Bakar dengan api bawah sahaja.
5. Keluarkan dan sejukkan. Sedap juga dihidangkan bersama ais krim vanila.

13 November 2008

Nothing Special..

Tidak ada apa satu masakan pun harinie [tutup dapo jap] hehehe..CUMA harinie kukus pulut kuning sahaja..jadiklaa kan..malas nk buat kek sebab beberapa hari lepas dah buat kek coklat moist masa adik datang haritu. Cadang pulut tu nak makan dengan kari ayam/daging tapi tak sempat nak tangkap ayam plak harinie dan akhirnya pergi tangkap kari kat kedai aje..ekekeke..
tak kisahlah tak ori pun janji inisiatif tuu ada! wahhhh...
Kebetulan ada kawan nak datang hantar puding raja..my feberet nih! pisang lemak manis tuu plak ada sedara dia hantar dari Pekan..so apalagik, kira rezeki besday laa nie kan..hehehe..dia pun tak tahu harinie hari jadi saya, masa nk tapaukan pulut kuning tuu dia dah syak something..so bagitau je lah..right timing laa dia datang pun..hehehe..

puding raja

pulut kuning


Happy Birthday To Me!




Alhamdulillah, akhirnya saya diberi kesempatan untuk menyambut hari lahir saya pada hari ini. Syukur Allah masih panjangkan umur saya. Pada hari ini, saya berdoa semoga Allah berkati hidup saya dunia akhirat, sentiasa murahkan rezeki dengan rezeki yang halal, diberi kehidupan yang bahagia dan dipermudahkan segala-galanya..amin..

04 November 2008

award


Award Hard Working Food Blogger yang diterima dari Kak Jun Yummyliciuos!
Thanks Kak Jun..

Buah Dabai

Pernah tengok buah ini?? Namanya Buah Dabai. Saya pun pertama kali juga nampak buah ini. Buah ini datang khas dari Sarawak. Di semenanjung memang tak ada. Caranya nak makan pun agak unik. Basuh bersih buah ini kemudian rendam di dalam air suam lebih kurang 10-15 min sehingga 'masak'. Masak bermaksud buah ini akan lembut berbanding kalau tidak direndam. Kemudian boleh sapu dengan minyak kemudian dijemur ataupun terus gaul dengan kicap dan gula [menyicah]. Sedapppp! Rasa lemak-lemak gitu. Buah ini saya dapat dari seorang kenalan suami. Kenalan tu pulak dapat dari kenalannya yang berasal dari Sarawak dan kebetulan mempunyai dusun buah dabai ini. Buah ini pun ikut gred jugak. Yang saya dapat ini kategori gred A. Buah ini kalau tengok dari segi rupa seakan-akan macam buah keriang [biasa di belah-belah utara banyak la] tapi biji buah dabai nie pulak berbentuk mcm buah kana [segitiga].





30 October 2008

Sup Tulang

SUP TULANG

Bahan-bahan :-
500 gm tulang daging [boleh juga campur apa2 sahaja bahagian lain spt lutut,limpa dsb]
1 sdb rempah sup
1/2 sdb rempah kurma
1 kiub pati ayam
1 sup bunjut
1 sdt lada hitam biji
1 pokok daun sup, dikerat 3 bahagian [jgn buang akarnya]
garam

Bahan A :- [dimesin halus]
1 biji bawang besar
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 “ halia

Bahan B :-
Minyak utk menumis
5 ulas bawang merah, dihiris
3 ulas bawang putih, dihiris
1 “ halia, dihiris
1 ikat daun pandan

Cara-cara :-
1. Basuh bersih tulang daging kemudian masukkan ke dalam periuk diikuti air yang secukupnya. Letak di atas api dan biarkan seketika.
2. Masukkan bahan A, rempah sup dan rempah kurma ke dalam periuk. Kacau-kacau kemudian masukkan kiub bati ayam dan daun sup. Untuk sup bunjut biasanya saya buka ikatan bunjut tadi dan bahan-bahan itu saya goreng tanpa minyak bersama-sama dengan lada hitam. Kemudian bahan ini diblend halus dan dituang ke dalam periuk.
3. Biar sehingga sup mendidih dan tambah air jika daging masih belum empuk. Perasakan dengan garam.
4. Setelah empuk, sediakan bahan B. Panaskan minyak kemudian masukkan hirisan bawang merah, bawang putih dan halia. Apabila bawang agak kekuningan, masukkan seikat daun pandan ke dalamnya. Kacau sebentar dan kemudian tuang kesemuanya ke dalam periuk sup. Kacau sup kemudian tudungkan periuk dan bolehlah ditutup api untuk dihidangkan.
Tabur bawang goreng, daun bawang dan daun sup jika suka.

28 October 2008

Soto lagik..


Soto

Bahan-bahan :-
1 ekor ayam, dipotong 4
4 bungkus nasi himpit, direbus
1 kiub pati ayam

Bahan A :-
1 btg kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 biji bunga cengkih
3 biji bunga lawang

Bahan B :- [digoreng tanpa minyak kemudian dikisar halus]
1/2 sdb jintan manis biji
1/2 sdb jintan putih biji
1/2 sdb lada hitam biji
1 sdb ketumbar biji

1 sdb rempah sup

Bahan C :- [dimesin halus]
1 biji bawang besar
5 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 biji buah keras
3 batang serai
2 " halia
1 " lengkuas

Bahan D :- [taburan/sampingan]
kacang tanah
su un
bergedil
daun sup dan daun bawang
bawang goreng
sambal kicap
taugeh

Cara-cara :-
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan bahan A.
2. Bahan B tadi di masukkan ke dalam bahan C kemudian dimesin sekali lagi sehingga halus.
3. Tuang bahan mesin ke dalam periuk dan masak sehingga rempah garing dan pecah minyak.
4. Tuang air kemudian masukkan ayam dan kiub pati ayam. Biar mendidih dan ayam empuk.
5. Keluarkan ayam kemudian siat-siat isinya. Masukkan tulang-tulang ayam ke dalam kuah dan biar mendidih. Perasakan dengan garam.

Bergedil

5 biji kentang, dikupas dan dipotong nipis lalu digoreng
sepokok daun bawang dan daun sup, dimayang halus
2-3 sdb bawang goreng, ditumbuk
garam
lada sulah
2 biji telur, dipukul

Kentang yang telah digoreng tadi di tumbuk sehingga halus. Kemudian tuang ke dalam sebuah mangkuk besar. Di dalam mangkuk besar tadi, campur ke semua bahan kecuali telur. Kepal-kepalkan seperti bebola kemudian leperkan sedikit. Celup bergedil ke dalam telur dan goreng sehingga masak.
::
Sambal Kicap
::
15 biji cili padi
7 biji bawang putih
kicap manis dan kicap masin secukupnya
1/2 biji limau, ambil jus sahaja
::
Biasanya saya panggang kejap bawang putih tuu biar macam berminyak sket begitu juga dengan cili padi. Agak-agak mcm dah hitam-hitam sket saya alihkan. Tumbuk bawang putih dan cili padi atau nk senang buh dlm chopper. Percik kicap dan rasa masin manis. Akhir sekali perahkan jus limau.

Triffles lagi..

Triffle yang saya buat semalam utk jamu tetamu yang datang. Resepinya kalau tak silap dah ada kat arkib. Macam biasa selalu fruits cocktail terlupa nk beli. At last saya guna longan, ceri merah, ceri hijau dan nenas dlm tin. Ishh..ishh..





26 October 2008

Ayam Masak KUZI


Harinie tergerak hati nak masak ayam kuzi sebab teringin nak merasa apa itu KUZI. hehe..maklumlah, masakan nie bukan kemahiran saya pun..Masakan nie berasal dari sebelah pantai timur. Jadi saya tak tahu rasa sebenar kuzi nie. Kebetulan masa pergi ke Giant haritu terserempak dengan rempah nie, jadi tak salah saya rasa nak mencubanya. Cara-cara yang saya ikut betul-betul pada arahan di pek tersebut. Cuma adalah jugak derhaka pada resepi yang diberi..hehehe..[saya rujuk byk resepi dan cara memasaknya dalam forum] Seperti gambar di bawah nie, saya menggunakan ayam kampung. Ayam nie saya lumur dengan bawang merah, bawang putih, halia dan sedikit garam yang telah ditumbuk. Kemudian perap lebih kurang 1/2 jam.Ayam yang diperap tadi yang telah digoreng setengah masak.

Bahan-bahan di bawah ini ialah kismis dan biji gajus yang perlu digoreng. [sepatutnya badam tapi badam takde, jadi alternatifnya saya menggantikan dengan biji gajus]

Rempah KUZI segera cap Seri Tunjung yang saya gunakan. Caranya agak mudah jugak cuma bahan sampingan yang kita perlukan ialah minyak sapi, susu cair, air, kismis dan badam. Pertama, kita perlu goreng ayam terlebih dahulu kemudian ketepikan. Tumis rempah kuzi nie dan masukkan air dan susu cair. Biarkan mendidih kemudian masukkan ayam bersama kismis dan badam. Masak sehingga pekat. Tambah garam dan serbuk perisa jika suka. Memang mudah!


19 October 2008

Projek utk Hari Kanak-Kanak

Jumaat lepas kat sekolah Yusra ada sambutan Hari Kanak-Kanak. Jadi cikgu kat sekolah dia dah siap pesan suh bawak apa-apa makanan untuk jamuan tu nanti. Jadi, saya pun tak nak byk keja terus teringat nak buat kek coklat mcm kat bawah nie. Yang senangnya, memudahkan Yusra usung mende tuu sebab ianya bertutup dan tak gaduh nak tumpah ke apa selain tu comel jugak kan. Resepi macam biasalah saya guna resepi Kek Kukus Coklat [ada kat arkib]. Selain jamuan tu, Yusra terlibat dalam acara pakaian beragam. Dia pakai pakaian Cinderella. [takde gambar le pulak sbb kita tak pegi pun sekolah time fesyen show dia tuu]




09 October 2008

Mee Kari

Mee kari nie kita buat sebab nak jamu mak sedara yang datang dari Perlis. Tengah hari mak masak lauk pauk yang sedap gilerr..kita cuma sediakan rendang ayam pedas saja. Then petang tuu kita jamu ler dgn mee kari nie. Memandangkan mak tak makan ayam, terpaksalah ganti dengan ketam. Yang bestnya part nk kopek kerang. Yang nie kita wat sehari sebelum. Sambil kopek sambil masuk mulut..sambil kopek sambil masuk mulut..mmg hantu kerang btoi laa..ekeke..
Mak Jang bawak buah tangan dari sana apa lagik kalau bukan rebung masam dengan kuih sepit. Dapat je rebung masam tuu mak teruih buat gulai ikan..hehehe..


MEE KARI
Sumber : Internet, kemudian diolah mengikut citarasa sendiri

Bahan-bahan :-

Dikisar/
2 labu bawang putih [biasa saya guna 1 labu shj]

8 ulas bawang merah
4 tangkai serai
2 inci halia
cili mesin [jika suka]

2 sdb rempah kari daging + 2 sdb rempah ketam [cedok bumbun]
3 batang fish cake, dihiris
1 bungkus fishball, dibelah dua
1 peket tauhu kering, kerat jika besar
300 gm tulang ayam [nak guna rangka pun boleh]
beberapa ketul isi ayam [jika suka]
1 ekor ketam [takde pun takpa]
5 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
garam secukup rasa
minyak untuk menumis
3 helai daun kari

Cara-cara :-
1.Panaskan minyak dan masukkan daun kari. Kemudian masukkan bahan kisar. Tumis sehingga kekuningan. Satukan dua jenis rempah tadi kemudian bancuh dengan air. Tuang ke dalam periuk. Tudungkan periuk dan kacau-kacau selalu. Biar sehingga rempah masak dan pecah minyak.
2. Kemudian masukkan tulang, ayam dan juga air. Biarkan sehingga empuk.
3. Masukkan santan cair & ketam. Setelah mendidih masukkan santan pekat, garam, tauhu kering dan fishball. Biar mendidih dan tutup api.

Bahan Taburan :-
500 gm kerang, ambil isi sahaja
4 biji telur rebus

daun sup dan daun bawang
3 biji cili merah, dihiris
bawang goreng
taugeh yang dicelur


SAMBAL

Bahan-bahan :-
10 ulas bawang putih, ditumbuk halus
3 sudu besar cili giling/cili mesin
¾ cawan udang kering, direndam kemudian ditumbuk
sedikit minyak masak

Cara-cara :-
1. Tumis bawang putih sehingga kekuningan dan masukkan cili giling.
2. Setelah cili garing masukkan udang kering yang telah ditumbuk halus & biarkan seketika. Biar sehingga cili betul-betul garing dan pecah minyak. Masukkan sesudu dua air jika perlu.

Cara menghidangan :-
Letak mee di dalam pinggan. Hias dengan taugeh celur, telur rebus, bawang goreng, daun bawang dan daun sup, cili potong dan kerang. Letak sambal jika suka lebih pedas. Tuang kuah dan sedia untuk dinikmati.

Tidak ketinggalan..

Kat bawah ni ada segala mak neka biskut, kek lapis, lemang dan nasi himpit.

Juadah Hari Raya

Hari nie baru berkesempatan nak update blog. Raya sakan laa katakan..hehehe..
Balik ke KL semula pada hari selasa lepas sebab taknak sangkut dgn jem kat jalanraya..ingatkan tak jem..tapi sama jugakkkkkkk.. mungkin ada yang mula kerja rabu kot..itu yang hari selasa tuu berduyun jugak kereta kat jalanraya. Tak kisahlah, apa pun dah selamat sampai ke rumah. Dah balik rumah, tengok kat luar masya allah..macam setahun tak pernah menyapu! kotor dgn daun-daun dan sampah apa seme..ishh..ishh..
Ok, yg gambar-gambar di bawah ini ialah juadah yang kami sekeluarga sediakan untuk Hari Raya pertama. Tahun nie taknak masak banyak-banyak mcm tahun sudah..nnt membazir ja..
nasi minyak hujan panas
ayam masak merah
daging masak hitam
dalca sayur
sayur campur

25 September 2008

Acar Ikan Masin

Resepi nie asal dari seorang mami Penang. Resepi Acar Ikan Masin nie dah beberapa kali saya buat untuk puasa tapi tahun nie saya nak buat untuk Hari Raya pulak. aci dakkk?? hehehe..Resepi nie disumbangkan oleh mist dari FNR.

ACAR IKAN MASIN

Bahan-bahan :-
200 gm ikan kering talang/kurau – potong dadu kemudian digoreng

200 gm gula
3 sdt biji ketumbar, disangrai dan dikisar halus
2 sdt jintan putih, disangrai dan dikisar halus
6 sdb cuka
1/2 sdt garam
4 tangkai daun kari
minyak untuk menggoreng

Bahan ditumbuk halus/
100 gm bawang putih
50 gm bawang merah
50 gm kunyit hidup [atau kurangkan sikit]
2” halia
25 biji cili kering


Bahan sampingan :-
10 biji bawang merah [sebiji-sebiji]
10 biji bawang putih [ sebiji-sebiji]
50 gm cili padi

Bahan tabur :-
1 sdb biji sawi
1 sdb lenga, disangrai sekejap

Cara2:-
1. Panaskan minyak dan masukkan daun kari.Tumis bahan tumbuk sehingga masak dan pecah minyak. Campurkan bahan sangrai sekali. Kacau sehingga cili betul-betul masak.
2. Masukkan gula dan biarkan gula hancur.
3. Masukkan bahan sampingan dan biar mendidih seketika dan masukkan cuka.
4. Akhir sekali baru dimasukkan ikan kering dan kacau sedikit-sedikit sahaja. Agak mesra dan sebati terus tutup api. Rasa dulu masam manisnya.
5. Taburkan biji sawi dan lenga. [Bahan tabur ini saya yg tambah sendiri. Jika tidak suka, abaikan sahaja]