13 November 2008

Happy Birthday To Me!




Alhamdulillah, akhirnya saya diberi kesempatan untuk menyambut hari lahir saya pada hari ini. Syukur Allah masih panjangkan umur saya. Pada hari ini, saya berdoa semoga Allah berkati hidup saya dunia akhirat, sentiasa murahkan rezeki dengan rezeki yang halal, diberi kehidupan yang bahagia dan dipermudahkan segala-galanya..amin..

04 November 2008

award


Award Hard Working Food Blogger yang diterima dari Kak Jun Yummyliciuos!
Thanks Kak Jun..

Buah Dabai

Pernah tengok buah ini?? Namanya Buah Dabai. Saya pun pertama kali juga nampak buah ini. Buah ini datang khas dari Sarawak. Di semenanjung memang tak ada. Caranya nak makan pun agak unik. Basuh bersih buah ini kemudian rendam di dalam air suam lebih kurang 10-15 min sehingga 'masak'. Masak bermaksud buah ini akan lembut berbanding kalau tidak direndam. Kemudian boleh sapu dengan minyak kemudian dijemur ataupun terus gaul dengan kicap dan gula [menyicah]. Sedapppp! Rasa lemak-lemak gitu. Buah ini saya dapat dari seorang kenalan suami. Kenalan tu pulak dapat dari kenalannya yang berasal dari Sarawak dan kebetulan mempunyai dusun buah dabai ini. Buah ini pun ikut gred jugak. Yang saya dapat ini kategori gred A. Buah ini kalau tengok dari segi rupa seakan-akan macam buah keriang [biasa di belah-belah utara banyak la] tapi biji buah dabai nie pulak berbentuk mcm buah kana [segitiga].





30 October 2008

Sup Tulang

SUP TULANG

Bahan-bahan :-
500 gm tulang daging [boleh juga campur apa2 sahaja bahagian lain spt lutut,limpa dsb]
1 sdb rempah sup
1/2 sdb rempah kurma
1 kiub pati ayam
1 sup bunjut
1 sdt lada hitam biji
1 pokok daun sup, dikerat 3 bahagian [jgn buang akarnya]
garam

Bahan A :- [dimesin halus]
1 biji bawang besar
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 “ halia

Bahan B :-
Minyak utk menumis
5 ulas bawang merah, dihiris
3 ulas bawang putih, dihiris
1 “ halia, dihiris
1 ikat daun pandan

Cara-cara :-
1. Basuh bersih tulang daging kemudian masukkan ke dalam periuk diikuti air yang secukupnya. Letak di atas api dan biarkan seketika.
2. Masukkan bahan A, rempah sup dan rempah kurma ke dalam periuk. Kacau-kacau kemudian masukkan kiub bati ayam dan daun sup. Untuk sup bunjut biasanya saya buka ikatan bunjut tadi dan bahan-bahan itu saya goreng tanpa minyak bersama-sama dengan lada hitam. Kemudian bahan ini diblend halus dan dituang ke dalam periuk.
3. Biar sehingga sup mendidih dan tambah air jika daging masih belum empuk. Perasakan dengan garam.
4. Setelah empuk, sediakan bahan B. Panaskan minyak kemudian masukkan hirisan bawang merah, bawang putih dan halia. Apabila bawang agak kekuningan, masukkan seikat daun pandan ke dalamnya. Kacau sebentar dan kemudian tuang kesemuanya ke dalam periuk sup. Kacau sup kemudian tudungkan periuk dan bolehlah ditutup api untuk dihidangkan.
Tabur bawang goreng, daun bawang dan daun sup jika suka.

28 October 2008

Soto lagik..


Soto

Bahan-bahan :-
1 ekor ayam, dipotong 4
4 bungkus nasi himpit, direbus
1 kiub pati ayam

Bahan A :-
1 btg kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 biji bunga cengkih
3 biji bunga lawang

Bahan B :- [digoreng tanpa minyak kemudian dikisar halus]
1/2 sdb jintan manis biji
1/2 sdb jintan putih biji
1/2 sdb lada hitam biji
1 sdb ketumbar biji

1 sdb rempah sup

Bahan C :- [dimesin halus]
1 biji bawang besar
5 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 biji buah keras
3 batang serai
2 " halia
1 " lengkuas

Bahan D :- [taburan/sampingan]
kacang tanah
su un
bergedil
daun sup dan daun bawang
bawang goreng
sambal kicap
taugeh

Cara-cara :-
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan bahan A.
2. Bahan B tadi di masukkan ke dalam bahan C kemudian dimesin sekali lagi sehingga halus.
3. Tuang bahan mesin ke dalam periuk dan masak sehingga rempah garing dan pecah minyak.
4. Tuang air kemudian masukkan ayam dan kiub pati ayam. Biar mendidih dan ayam empuk.
5. Keluarkan ayam kemudian siat-siat isinya. Masukkan tulang-tulang ayam ke dalam kuah dan biar mendidih. Perasakan dengan garam.

Bergedil

5 biji kentang, dikupas dan dipotong nipis lalu digoreng
sepokok daun bawang dan daun sup, dimayang halus
2-3 sdb bawang goreng, ditumbuk
garam
lada sulah
2 biji telur, dipukul

Kentang yang telah digoreng tadi di tumbuk sehingga halus. Kemudian tuang ke dalam sebuah mangkuk besar. Di dalam mangkuk besar tadi, campur ke semua bahan kecuali telur. Kepal-kepalkan seperti bebola kemudian leperkan sedikit. Celup bergedil ke dalam telur dan goreng sehingga masak.
::
Sambal Kicap
::
15 biji cili padi
7 biji bawang putih
kicap manis dan kicap masin secukupnya
1/2 biji limau, ambil jus sahaja
::
Biasanya saya panggang kejap bawang putih tuu biar macam berminyak sket begitu juga dengan cili padi. Agak-agak mcm dah hitam-hitam sket saya alihkan. Tumbuk bawang putih dan cili padi atau nk senang buh dlm chopper. Percik kicap dan rasa masin manis. Akhir sekali perahkan jus limau.

Triffles lagi..

Triffle yang saya buat semalam utk jamu tetamu yang datang. Resepinya kalau tak silap dah ada kat arkib. Macam biasa selalu fruits cocktail terlupa nk beli. At last saya guna longan, ceri merah, ceri hijau dan nenas dlm tin. Ishh..ishh..





26 October 2008

Ayam Masak KUZI


Harinie tergerak hati nak masak ayam kuzi sebab teringin nak merasa apa itu KUZI. hehe..maklumlah, masakan nie bukan kemahiran saya pun..Masakan nie berasal dari sebelah pantai timur. Jadi saya tak tahu rasa sebenar kuzi nie. Kebetulan masa pergi ke Giant haritu terserempak dengan rempah nie, jadi tak salah saya rasa nak mencubanya. Cara-cara yang saya ikut betul-betul pada arahan di pek tersebut. Cuma adalah jugak derhaka pada resepi yang diberi..hehehe..[saya rujuk byk resepi dan cara memasaknya dalam forum] Seperti gambar di bawah nie, saya menggunakan ayam kampung. Ayam nie saya lumur dengan bawang merah, bawang putih, halia dan sedikit garam yang telah ditumbuk. Kemudian perap lebih kurang 1/2 jam.Ayam yang diperap tadi yang telah digoreng setengah masak.

Bahan-bahan di bawah ini ialah kismis dan biji gajus yang perlu digoreng. [sepatutnya badam tapi badam takde, jadi alternatifnya saya menggantikan dengan biji gajus]

Rempah KUZI segera cap Seri Tunjung yang saya gunakan. Caranya agak mudah jugak cuma bahan sampingan yang kita perlukan ialah minyak sapi, susu cair, air, kismis dan badam. Pertama, kita perlu goreng ayam terlebih dahulu kemudian ketepikan. Tumis rempah kuzi nie dan masukkan air dan susu cair. Biarkan mendidih kemudian masukkan ayam bersama kismis dan badam. Masak sehingga pekat. Tambah garam dan serbuk perisa jika suka. Memang mudah!


19 October 2008

Projek utk Hari Kanak-Kanak

Jumaat lepas kat sekolah Yusra ada sambutan Hari Kanak-Kanak. Jadi cikgu kat sekolah dia dah siap pesan suh bawak apa-apa makanan untuk jamuan tu nanti. Jadi, saya pun tak nak byk keja terus teringat nak buat kek coklat mcm kat bawah nie. Yang senangnya, memudahkan Yusra usung mende tuu sebab ianya bertutup dan tak gaduh nak tumpah ke apa selain tu comel jugak kan. Resepi macam biasalah saya guna resepi Kek Kukus Coklat [ada kat arkib]. Selain jamuan tu, Yusra terlibat dalam acara pakaian beragam. Dia pakai pakaian Cinderella. [takde gambar le pulak sbb kita tak pegi pun sekolah time fesyen show dia tuu]




09 October 2008

Mee Kari

Mee kari nie kita buat sebab nak jamu mak sedara yang datang dari Perlis. Tengah hari mak masak lauk pauk yang sedap gilerr..kita cuma sediakan rendang ayam pedas saja. Then petang tuu kita jamu ler dgn mee kari nie. Memandangkan mak tak makan ayam, terpaksalah ganti dengan ketam. Yang bestnya part nk kopek kerang. Yang nie kita wat sehari sebelum. Sambil kopek sambil masuk mulut..sambil kopek sambil masuk mulut..mmg hantu kerang btoi laa..ekeke..
Mak Jang bawak buah tangan dari sana apa lagik kalau bukan rebung masam dengan kuih sepit. Dapat je rebung masam tuu mak teruih buat gulai ikan..hehehe..


MEE KARI
Sumber : Internet, kemudian diolah mengikut citarasa sendiri

Bahan-bahan :-

Dikisar/
2 labu bawang putih [biasa saya guna 1 labu shj]

8 ulas bawang merah
4 tangkai serai
2 inci halia
cili mesin [jika suka]

2 sdb rempah kari daging + 2 sdb rempah ketam [cedok bumbun]
3 batang fish cake, dihiris
1 bungkus fishball, dibelah dua
1 peket tauhu kering, kerat jika besar
300 gm tulang ayam [nak guna rangka pun boleh]
beberapa ketul isi ayam [jika suka]
1 ekor ketam [takde pun takpa]
5 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
garam secukup rasa
minyak untuk menumis
3 helai daun kari

Cara-cara :-
1.Panaskan minyak dan masukkan daun kari. Kemudian masukkan bahan kisar. Tumis sehingga kekuningan. Satukan dua jenis rempah tadi kemudian bancuh dengan air. Tuang ke dalam periuk. Tudungkan periuk dan kacau-kacau selalu. Biar sehingga rempah masak dan pecah minyak.
2. Kemudian masukkan tulang, ayam dan juga air. Biarkan sehingga empuk.
3. Masukkan santan cair & ketam. Setelah mendidih masukkan santan pekat, garam, tauhu kering dan fishball. Biar mendidih dan tutup api.

Bahan Taburan :-
500 gm kerang, ambil isi sahaja
4 biji telur rebus

daun sup dan daun bawang
3 biji cili merah, dihiris
bawang goreng
taugeh yang dicelur


SAMBAL

Bahan-bahan :-
10 ulas bawang putih, ditumbuk halus
3 sudu besar cili giling/cili mesin
¾ cawan udang kering, direndam kemudian ditumbuk
sedikit minyak masak

Cara-cara :-
1. Tumis bawang putih sehingga kekuningan dan masukkan cili giling.
2. Setelah cili garing masukkan udang kering yang telah ditumbuk halus & biarkan seketika. Biar sehingga cili betul-betul garing dan pecah minyak. Masukkan sesudu dua air jika perlu.

Cara menghidangan :-
Letak mee di dalam pinggan. Hias dengan taugeh celur, telur rebus, bawang goreng, daun bawang dan daun sup, cili potong dan kerang. Letak sambal jika suka lebih pedas. Tuang kuah dan sedia untuk dinikmati.

Tidak ketinggalan..

Kat bawah ni ada segala mak neka biskut, kek lapis, lemang dan nasi himpit.

Juadah Hari Raya

Hari nie baru berkesempatan nak update blog. Raya sakan laa katakan..hehehe..
Balik ke KL semula pada hari selasa lepas sebab taknak sangkut dgn jem kat jalanraya..ingatkan tak jem..tapi sama jugakkkkkkk.. mungkin ada yang mula kerja rabu kot..itu yang hari selasa tuu berduyun jugak kereta kat jalanraya. Tak kisahlah, apa pun dah selamat sampai ke rumah. Dah balik rumah, tengok kat luar masya allah..macam setahun tak pernah menyapu! kotor dgn daun-daun dan sampah apa seme..ishh..ishh..
Ok, yg gambar-gambar di bawah ini ialah juadah yang kami sekeluarga sediakan untuk Hari Raya pertama. Tahun nie taknak masak banyak-banyak mcm tahun sudah..nnt membazir ja..
nasi minyak hujan panas
ayam masak merah
daging masak hitam
dalca sayur
sayur campur

25 September 2008

Acar Ikan Masin

Resepi nie asal dari seorang mami Penang. Resepi Acar Ikan Masin nie dah beberapa kali saya buat untuk puasa tapi tahun nie saya nak buat untuk Hari Raya pulak. aci dakkk?? hehehe..Resepi nie disumbangkan oleh mist dari FNR.

ACAR IKAN MASIN

Bahan-bahan :-
200 gm ikan kering talang/kurau – potong dadu kemudian digoreng

200 gm gula
3 sdt biji ketumbar, disangrai dan dikisar halus
2 sdt jintan putih, disangrai dan dikisar halus
6 sdb cuka
1/2 sdt garam
4 tangkai daun kari
minyak untuk menggoreng

Bahan ditumbuk halus/
100 gm bawang putih
50 gm bawang merah
50 gm kunyit hidup [atau kurangkan sikit]
2” halia
25 biji cili kering


Bahan sampingan :-
10 biji bawang merah [sebiji-sebiji]
10 biji bawang putih [ sebiji-sebiji]
50 gm cili padi

Bahan tabur :-
1 sdb biji sawi
1 sdb lenga, disangrai sekejap

Cara2:-
1. Panaskan minyak dan masukkan daun kari.Tumis bahan tumbuk sehingga masak dan pecah minyak. Campurkan bahan sangrai sekali. Kacau sehingga cili betul-betul masak.
2. Masukkan gula dan biarkan gula hancur.
3. Masukkan bahan sampingan dan biar mendidih seketika dan masukkan cuka.
4. Akhir sekali baru dimasukkan ikan kering dan kacau sedikit-sedikit sahaja. Agak mesra dan sebati terus tutup api. Rasa dulu masam manisnya.
5. Taburkan biji sawi dan lenga. [Bahan tabur ini saya yg tambah sendiri. Jika tidak suka, abaikan sahaja]

24 September 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2008

Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri buat semua kawan-kawan yang mengenali diri saya dan juga kepada kawan-kawan dari FP/Blog. Dengan rasa rendah diri, ingin saya menyusun jari memohon ampun dan maaf seandainya selama perkenalan saya dengan kalian ada yang terasa hati dengan tingkah laku atau bahasa yang kurang menyenangkan. Oleh itu, marilah kita sama-sama menyambut Aidilfitri ini dengan penuh nikmat keberkatan dan saling bermaaf-maafan. Semoga dengan kehadiran Aidilfitri ini juga dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim di antara kita semua. Salam.

psstt...tak sabaq nak balik Penang dah nie...hehehee...

Biskut Raya

Biskut ni ialah Biskut Nestum yang resepinya dari zieA FNR. Saja nak perabih stok butter dgn nestum. Projek last nih..kompem! hehehe..



Biskut Nestum
sumber : FNR

Bahan-bahan :-
250 gm mentega
100 gm gula icing [resepi asal guna 84 gm gula kastor]
250 gm tepung gandum
125 gm nestum kisar
125 gm badam kisar
50 gm chocolate rice [resepi asal tidak gunakan bahan ini]
Badam hiris utk hiasan

Cara-cara :-
1. Pukul mentega dan gula hingga lembut.
2. Masukkan tepung dan bahan-bahan kering. Uli hingga menjadi doh.
3. Terap dengan acuan kegemaran dan sapu kuning telur. Tabur bahan hiasan.
4. Bakar sehingga masak.

23 September 2008

Biskut Raya

Harap-harap ini biskut last lah..kehkehkeh..semangat nak buat tu ada tapi angin 'M' dok tiup sepoi-sepoi kat telinga nie..tuuu yang payah sket..wakaka..Ok! Biskut nie saya guna resepi dalam majalah RASA Ogos 2008. Nama biskut nie ialah Mohren Koft [apa laaa maksud dia ekk...tak faham aku! kehkehkeh] hentam sajalah, janji dah selesai kerja ku..hehehe..biskut nie bolehlah tahan sedap jugak sebab ada masuk esen oren. Dan resepi ni jugak saya terpaksa olah sikit-sikit sebab adunannya tak berapa nak kena [susah nk uli mulanya..]


Biskut Mohren Koft
Sumber : RASA Ogos 2008

Bahan-bahan :-
125 gm mentega[kena tambah lagi sket2 untuk mudahkan proses nk menguli]
90 gm gula kastor
1 sdt esen oren [saya guna orange paste,pekat sket]
1 bj kuning telur
20 gm kacang hazel [ground hazelnut]
50 gm biskut marie, dikisar

Diayak/
75 gm tepung jagung
200 gm tepung gandum
20 gm susu tepung
1/4 sdt serbuk penaik

Cara-cara :-
1. Masukkan mentega, gula kastor dan esen oren ke dalam bekas adunan dan pukul hingga sebati.
2. Masukkan kuning telur dan pukul lagi hingga kembang.
3. Kemudian masukkan bahan yang telah di ayak bersama kacang hazel dan biskut marie. Uli sehingga sebati.
4. Canai adunan dan terap dengan acuan mengikut kesukaan anda.
5. Bakar selama 10-15 minit atau sehingga masak.
6. Sejukkan biskut dan paipkan coklat masakan di atasnya sebagai hiasan.

18 September 2008

Biskut Raya

Akhirnya selesai jugak tugasan nak buat tat gulung nie. Resepi nie saya guna resepi dari Kak Liza. Sebijik macam yang Kak Liza/Kak Bedah buat jual tuu. Kebetulan harinie rasa mood nak buat tuu ada, so jalan jugak lerr. Elok-elok nak kuarkan kuih dari oven, tup-tup lampu oven blow! memang hangin jugakkk laa sebab dengan tiba-tiba oven terus tak boleh nak on! So, projek berhenti seketika lah nampak gayanya..dan nampak gaya jugaklah kek buah tetiap tahun tuuu tak jalan ler tahun nie..huhuhuhu..nak nangis pun ada jugak nie..uwargghhhh...

Tat Nenas

Bahan-bahan :-
125 gm butter
125 gm marjerin
70 gm gula halus
1 biji kuning telur
1 sdk esen vanilla
350 gm tepung gandum
50 gm tepung jagung
Jem nenas secukupnya

Bahan pengilat/
2 bj kuning telur
2 sdk air [saya tak letak ni]
pewarna kuning

Cara-cara :-
1. Pukul butter, marjerin dan gula.
2. Masukkan kuning telur dan esen vanilla dan gaul sehingga rata.
3. Masukkan tepung gandum dan tepung jagung yg telah diayak. Gaulkan sehingga rata dan sebati.
5. Gunakan acuan Nestar dan pamkan adunan.
6. Kepalkan jem nenas sebesar biji kurma.
7. Letakkan jem nenas di atas adunan dan gulungkan.
8. Masukkan adunan biskut dalam acuan kertas.
9. Sapukan dengan bahan glaze tadi.
10. Bakar dalam oven suhu 180'C sehingga kuning keemasan atau masak dalam 20 minit.
11. Bila telah masak, sejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara.

Biskut Raya

Yang ini pulak biskut Choc Chip Rangup yang resepinya disumbangkan oleh Kak Liza. Banyak kali dah buat biskut ni sebab resepi dia boleh diolah dan kita boleh letak apa sahaja bahan yang kita suka. Tapi untuk raya kali ni, saya ikut betul-betul resepinya sebab nak letak lebih-lebih pun tak boleh sebab bahan-bahan yang ada kat rumah teramatlah terhad! hehehe..

menunggu giliran untuk masuk dlm oven

yang telah siap dibakar

Biskut Raya

Biskut yang di bawah ni ialah Biskut Cornflakes yang resepinya disumbangkan oleh Sue dari FNR. Biskut ni memang dah ramai yang buat dan terbukti kesedapannya.

Biskut Cornflakes
sumber : Sue FNR

Bahan-bahan :-
180 gm tpg gandum
150 gm mentega
80 gm gula aising
50 gm tepung jagung
1 bj kuning telur
80 gm cornflakes Nestle, dihancurkan [ramas dgn tangan atau blend kasar pun boleh]
1/2 sdt serbuk penaik


Cara-cara :-
1. Satukan tepung gandum dan serbuk penaik dan diayak. Ketepikan.
2. Pukul mentega dan gula sehingga berkrim. Kemudian masukkan kuning telur dan pukul lagi.
2. Masukkan cornflakes dan tepung jagung ke dalam adunan mentega. Uli adunan sambil masukkan tepung gandum yang telah diayak sedikit demi sedikit. Rehatkan adunan sebentar jika adunan lembik.
3. Kemudian, bulat-bulatkan adunan sebesar guli atau mengikut bentuk kesukaan anda. Jika hendak gaul dengan lebihan cornflakes pun boleh juga.
4. Susun adunan di dalam loyang pembakar dan bakar lebih kurang 15 minit atau sehingga masak. Sejukkan dan boleh disimpan di dalam bekas.

09 September 2008

Bubur Lambok Che Ton

Semalam buat bubur lambok jugak sebab terkenangkan anak dara tuuu asyik makan bubur lambuk beli je waktu berbuka..walaupun puasa tak berapa nak sangat..hehehe..itu yang terrr buat jugak..bubur lambok nie saya belajar dari mak. Dulu-dulu masa budak-budak memang ske sgt dgn bubur lambok mak nie sebab ada udang [lagipun mak tak makan ayam] kita adik beradik pakat ceduk udang memang tak hengat lerr..hehehe..kesian mak..dah ler tak makan ayam, ada udang disapu plak anak-anak..ishhh..bubur nie simple je..


BUBUR LAMBOK
Bahan-bahan :-
1 cwn beras
2 sdb halba
1 1/2 inci halia - ketuk/mayang halus
2 batang serai - dititik
1/2 cawan lobak masin – cincang [boleh lebihkan jika suka]
2 sdb lada hitam – tumbok kasar [atau 1 sdb jika tidak suka pedas]
½ cawan santan + 1/2 cwn air
350 gm udang/ayam/daging, terpulang kpd citarasa masing2

Bahan tumis: - [tumis darat]
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1” halia

Bahan hiasan:-
Daun sup
Daun bawang
Bawang goreng

Cara-cara :-
1. Basuh beras dan bilas bersih. Masukkan ke dalam periuk bersama-sama air. Masak sehingga beras hancur dan menjadi bubur.
2. Masukkan halia, halba, serai dan lada hitam. Kacau sekejap dan masukkan lobak masin.
3. Masukkan udang dan diikuti santan. Kacau sebentar. Perasakan bubur dgn garam dan biarkan mendidih kemudian tutup api.
4. Di dalam kuali berasingan, panaskan minyak dan tumis bahan-bahan tumis sehingga garing. Tuang ke dalam bubur lambok tadi dan dikacau-kacau sekejap. Apabila hendak menghidang, taburlah bahan hiasan.

Terung Berlado

Semalam angin baik laa kot..tu yang masak macam-macam..hihihi...diantaranya ialah terung goreng berlado yang memang saya selalu buat kalau ada terung panjang. Resepi ni guna resepi Kak Liza.


TERUNG GORENG BERLADA

Bahan-bahan :-
1 batang terung panjang, dihiris dan ditabur garam kunyit
garam dan gula secukup rasa
2 sdb sos tomato

Bahan ini perlu dikisar kasar/
5-7 biji cili merah
1 labu bawang besar [kalau kecil guna 2]
3 ulas bawang putih

Cara-cara :-
1. Panaskan minyak dan goreng terendam terung sehingga masak. Angkat dan ketepikan.

2. Tuang lebihan minyak dan tinggal bakinya utk menumis.
3. Tumis bahan kisar sehingga masak dan pecah minyak.
4. Apabila sudah masak, perasakan dengan garam dan sedikit gula. Tuang sos tomato dan gaul lagi. Letak sedikit sahaja air jika perlu.[apabila kuah terlalu pekat].
5. Masukkan terung yang telah digoreng dan balik-balikkan sekejap sahaja kerana terung akan cepat lembik. Angkat dan boleh dihidangkan.